Sunday, April 25, 2010

Salam 1Sabah Daripada Perodua Kancil Sang Pengurus AkiSagat....

Terlebih dahulu, diucapkan ribuan terima kasih buat pengunjung blog Aki Sagat Team kerana sudi 'menyesatkan' diri ke blog ini...

Baru baru ini, big boss Aki Sagat meluahkan rasa hati beliau kepada saya. Menurutnya, beliau begitu bangga kerana sehingga hari ini, Aki Sagat Team masih dapat bertahan, malah semakin maju dan matang. Tiada apa yang diharapkan oleh big boss yang menyedari umurnya semakin lanjut selain daripada kesinambungan kumpulan ini. Tujuan utama beliau tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memelihara kebudayaan Kadazan Dusun yang sekian hari semakin dilupai orang.

Namun begitu, beliau begitu terkilan kerana terdapat segelintir orang yang sanggup mem'politik' kan bangsa dan kebudayaan sendiri sehingga lupa pada asal usul mereka sendiri. Usaha beliau menubuhkan Aki Sagat Team dikecam oleh segelintir pihak yang mahu menjadikan kumpulan ini sebagai medium propaganda politik dengan alasan untuk mempopularkan kumpulan ini. Sebenarnya mereka mahu menjadikan kumpulan ini sebagai batu loncatan untuk kepentingan mereka dan sekaligus 'membuang batu' kepada kami. Menjadi popular adalah kebanggaan kumpulan ini tetapi melalui cara yang baik dan benar seperti Program Homestay, Majlis Perkahwinan, Hari Lahir ataupun program berunsur kebajikan atau kebudayaan.

Sekiranya kamu berada dalam komuniti Aki Sagat Team, kamu akan tahu bahawa coretan ini bukan coretan kosong atau tuduhan tidak berasas. Saya berasa terharu apabila beliau menyatakan bahawa beliau akan terus berjuang melalui Aki Sagat Team demi mempertahankan bangsa kita sendiri sehingga ke nafas yang terakhir.

Oleh yang demikian, beliau begitu berharap agar semua bangsa Kadazan Dusun bersatupadu dan tidak mudah dilemahkan oleh sebarang ugutan politik. Kebudayaan sesuatu kaum perlu dihormati dan dipelihara dan bukannya dianggap sebagai kertas conteng; selepas di conteng, akan dibuang begitu saja.

Akhir kata, beliau tidak mengejar gelaran 'Datuk' kerana beliau sudah pun berstatus seorang datuk bercucu 9 dan beliau tidak mengejar pangkat menteri kerana nama beliau sendiri, iaitu MB, adalah sama akronim dengan 'Menteri Besar'. Beliau berasa puas hati dan bangga sekiranya beliau dianggap sebagai 'Anak Kadazan' yang sejati dan berkhidmat untuk semua orang.

Sekian saja coretan saya. Saya berharap pengunjung tidak menyalah tafsirkan maksud saya di sini. Apa yang ditaip ini merupakan 'authentic interview' daripada big boss Aki Sagat Team dan luahan hati untuk membuka minda kepada bangsa Kadazan Dusun yang lain supaya terus mempertahankan kebudayaan tinggalan nenek moyang.

p/s: Saya menganggap big boss Aki Sagat Team merupakan pejuang kebudayaan sejati yang betul-betul komited dengan kata-kata beliau.

No comments:

Post a Comment