Monday, June 15, 2009

Kelahiran Aki Sagat Team Kampung Biau Papar

Kelahiran 'Aki Sagat Team' bermula pada 01 Mei 2009 bertempat di Dewan Masyarakat Papar. Pada ketika itu, nama yang digunakan cuma 'Sagat Team' sahaja. Namun begitu, penambahan perkataan 'Aki' bermaksud kumpulan ini telah dalam proses untuk mengukuhkan kedudukan dari segala aspek.
'Aki' dalam bahasa Kadazan bermaksud 'moyang' manakala Sagat merupakan nama seorang tokoh pemimpin di Kampung Biau Papar suatu masa dahulu. Nama ini diilhamkan oleh pengarah kumpulan ini, iaitu Encik David Embee Paulinus, merupakan seorang bekas guru yang telah barsara. Beliau kini aktif dalam mengkaji salasilah keturunan keluarga beliau dan juga aktif dalam menghidupkan semula 'nafas' instrumen tradisional yang sudah hampir dilupai oleh segenap lapisan masyarakat.
Encik David Embee Paulinus yang lebih mesra dipanggil 'cikgu' atau 'MB' merupakan keturunan keempat bagi Sagat. Beliau yang kini sudah mencecah umur 63 tahun merupakan antara penduduk Kampung Biau Papar yang begitu matang dalam salasilah kekeluargaan dan sejarah hidup seseorang yang telah meninggal dunia. Saya pernah berkesempatan bersama-sama beliau melawat kuburan di kampung yang mana, beliau dapat mengenali hampir semua yang telah dikuburkan dan sebab mengapa mereka meninggal dunia.
Moto yang di bawa oleh kumpulan ini ialah 'Serve and Lead the Community Throughout Young Generations' yang bermaksud, berkhidmat dan memimpin komuniti melalui generasi muda. Moto ini sendiri diilhamkan oleh Encik David Embee Paulinus yang mana beliau berpendapat generasi baru harus dipupuk untuk menghargai apa yang telah menjadi tradisi KadazanDusun sejak turun temurun. Beliau mendapati generasi pada masa kini amat kurang pengetahuan terhadap bangsa sendiri dan hanya mengetahuinya setelah mempelajari matapelajaran sejarah; itupun pengetahuan tersebut cuma 0.01% daripada kapasiti pengetahuan sebenar.
Oleh yang demikian, beliau memulakan langkah dengan bermula di rumah sendiri. Beliau mendidik anak-anak beliau dan cucu beliau untuk memahirkan diri dengan bahasa ibunda, seterusnya dengan peralatan tradisi suku kaum KadazanDusun. Pada mulanya, beliau agak gawat dari segi kewangan di mana harga untuk satu set lengkap bagi peralatan tradisi tersebut mencecah lebih seribu ringgit; jumlah yang agak tinggi memandangkan nilai peralatan tersebut agak tinggi juga. Namun, setelah berusaha, beliau akhirnya dapat memperolehi satu set lengkap yang dibeli di kalangan saudara mara beliau. Bertitik tolak daripada saat itu, alat tersebut telah menjadi nadi penggerak yang menyatukan 2 buah keluarga dengan lebih rapat lagi; iaitu keluarga daripada isteri pertama dan isteri kedua.
Bermula pada 25 Disember 2006, tarikh peralatan tersebut dibeli, ia tidak lekang dimainkan sepanjang hari setiap tahun sehingga kini. Sehingga tahun 2009, akhirnya keluarga ini berjaya menubuhkan perkumpulan yang digelar sebagai Aki Sagat Team yang dianggotai oleh generasi muda dan dipimpin juga oleh generasi muda dengan Encik David Embee Paulinus sebagai penasihat persatuan ini.
Kumpulan Aki Sagat yang baru ditubuhkan ini masih lagi kekurangan dana dan mengharapkan sumbangan ikhlas daripada individu atau perkumpulan. Sehingga kini jumlah pendapatan adalah berasal daripada hadiah wang tunai, saguhati dan sumbangan. Oleh yang demikian kumpulan ini mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin tampil memberi sumbangan demi kemajuan generasi baru kini. Wang sumbangan akan digunakan untuk pembelian set alat gong dan kulintangan yang baru, lawatan sambil belajar bagi peserta-peserta magagung dan sumazau ke tempat ilmiah, dan seumpamanya yang memberikan faedah kepada generasi muda di Kampung Biau Papar.

3 comments:

  1. kc masuk 2 gambar pengasas kumpulan..alat yang di gunakan..kalu ada klip kc uplod jugak mo urang tingu macam mana kamu bagarak..keep up the good work..AKI SAGAT LIVE !!!!!!

    ReplyDelete
  2. Kudos to "AKISAGAT TEAM" keep up the your honorable work...

    Anak Biau nakaansau!!

    ReplyDelete
  3. Upload your kulintangan recording promote our proud culture ...hidup Akisagat team!!!

    ReplyDelete