Pada 01 Mei 2009 yang lalu, Pesta Kaamatan Peringkat Negeri telah dilancarkan dengan Daerah Papar menjadi tuan rumah bagi penganjuran ini. Adalah menjadi kebanggaan dan satu penghormatan kepada penduduk di daerah ini yang mana sudah sekian lama Daerah Papar tidak diserikan dengan kehadiran para YAB, YB dan dif-dif kehormat yang sekian lama terperap di KK. Jadi apa salahnya turun Papar pigi tingu kami semua di sini kan…. Ngam-ngam ada Tamu lagi….
Jadi, saya berbesar hati ingin memfokuskan apa aktiviti Aki Sagat Team pada hari tersebut. Seminggu sebelumnya, kami telah diberitahu oleh Pengerusi JKKK Kampung bahawa Kampung Biau telah dijemput untuk menyertai satu pertandingan ‘magagung’ yang dianjurkan sempena pelancaran Pest Kaamatan ini. Dengan itu, Pengerusi JKKK Kampung dengan berbesar hati memberikan mandat tersebut kepada kami dan merekrut beberapa golongan muda yang sudi menyertai pertandingan ini.
Golongan yang dilatih ialah kanak-kanak dalam lingkungan 7 tahun sehingga 13 tahun. Pada mulanya latihan kami berjalan agak kurang lancar kerana membiasakan kanak-kanak dengan instrument tradisional adalah suatu cabaran yang agak berat lebih-lebih kepada pengurus pasukan belakang tabir, iaitu Encik David Embee Paulinus @ MB. Encik MB berusaha keras sehingga dengan tidak dijangka-jangka, meningkatkan potensi kanak-kanak tersebut menyaingi kebanyakan pemuda-pemudi dan belia di kampung ini.
Banyak orang kurang percaya dengan kemampuan kami untuk melatih kanak-kanak, namun kami memecahkan mitos tersebut dan cuba membuka satu harapan kepada golongan ibubapa bahawa anak-anak mereka sudah pandai bermain alatan muzik tradisional KadazanDusun yang mungkin golongan ibubapa itu sendiri tidak tahu bagaimana untuk memainkannya. Namun demikian, pengalaman lebih mengatasi daripada bakat semulajadi. Walaupun kanak-kanak tersebut berbakat, namun mereka kekurangan dari segi stamina dan daya ketahanan untuk bermain dalam tempoh yang lama dan panjang. Ini berbeza dengan golongan veteran yang telah berpengalaman di mana golongan ini penuh dengan stamina dan mampu bermain dalam tempoh yang lama. Situasi ini dapat dilihat dalam latihan awal kanak-kanak yang mana mereka mampu bermain dengan cekap namun menjadi lembap apabila masuk pada minit yang ketiga.
Pada hari pertandingan, terdapat 7 kampung yang bersaing untuk mendapat tempat terbaik atau sekurang-kurangnya saguhati. Kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Biau, Kampung Sabandil, Kampung Nagapas, Kampung Kogopon, Kampung Lakut, Kampung Timbagan dan Kampung Kopimpinan. Semua kampung tersebut memberikan yang terbaik dalam persembahan mereka dan akhirnya, kumpulan yang meraih tempat ialah Kampung Kopimpinan (Pertama), Kampung Kogopon (Kedua), dan Kampung Nagapas (Ketiga). Kampung yang lain termasuk kampung kami cuma meraih saguhati. Namun demikian, kami agak berpuas hati dengan persembahan kami dan berazam untuk mencuba lagi yang terbaik di pertandingan akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
kc masuk 2 gambar aktiviti jugak kio..keep it up..ada banyak supporters kat belakang.....
ReplyDelete