Sunday, June 21, 2009

Aktiviti Aki Sagat Team Pada Pesta Kaamatan Anjuran Kampung Tomui Papar

Pada 17 Mei 2009, Aki Sagat Team terlibat dengan pertandingan Magagung dan Sumazau yang dianjurkan oleh pihak penganjuran Kampung Tomui Papar. Kampung Tomui terletak bersebelahan dengan Kampung Biau dan kedua-dua kampung ini sangat rapat dari segi sosial, ekonomi dan seumpamanya.
Pertandingan pada kali ini telah memantapkan sedikit sebanyak Kumpulan Aki Sagat Team dengan penglibatan beberapa golongan ibubapa yang memerhatikan potensi yang baik dalam Aki Sagat Team. Antaranya ialah Encik Muin Galapan, Pn. Vianny Joanes, Encik Jimmy Joanes, Encik Sendly Simbun, Encik Philis Kanak, Pn. Maria Kanasius, Encik Anthony Benjamin, Encik Stephen Nandu, dan Encik Beritus Mikil. Mereka memberikan sokongan padu dengan mengambil peluang melibatkan anak-anak mereka dalam aktiviti yang sihat ini. Mereka juga tidak lekang untuk memunculkan diri pada sesi latihan untuk memberikan buah fikiran, berkongsi pendapat dan membawa ‘pot-luck’ untuk disajikan pada kanak-kanak. Namun demikian, ini menjadi satu cabaran yang mana kami terpaksa merekrut lebih ahli untuk menyertai pertandingan Sumazau. Seperti sebelumnya, kami cuma berkesempatan untuk melatih kanak-kanak tersebut selama seminggu sahaja. Namun demikian, kami agak berpuas hati dengan prestasi kanak-kanak tersebut sebelum pertandingan yang mana mereka banyak memberikan kerjasama, tidak mengenal penat lelah dan sanggup untuk meneruskan latihan tanpa henti selama 2 jam berturut-turut.
Di hari pertandingan, saya telah diberi peluang untuk mengepalai Aki Sagat Team untuk 2 jam sahaja. Bayangkan dalam 2 jam itu sahaja saya seperti hampir separuh gila untuk mengatur Aki Sagat Team di mana selain mengatur kanak-kanak, saya juga terpaksa mengatur peralatan gong, tapak tempat kami akan membuat persembahan, mencabut undi, berunding dengan pihak penganjur mengenai perjalanan aktviti dan sebagainya. Saya begitu kagum dengan kebolehan Encik MB yang mampu mengendalikan kesemua tugasan ini sendirian. Bukan sebarang orang yang mampu mengendalikan tekanan seumpama ini. Namun demikian, ini tidak lagi menjadi masalah yang mana golongan ibubapa yang terlibat secara langsung memberikan sokongan moral, bantuan dari segi tenaga manusia, dan kebajikan kanak-kanak.
Pertandingan Magagung dan Sumazau dipertandingkan serentak, dan kami berada di giliran yang ketiga. Sewaktu pertandingan berlangsung, kami belajar banyak daripada kumpulan yang lain dari segi corak tarian, kreativiti, dan pengalaman bagi setiap kumpulan yang menunjukkan persiapan yang mantap. Kami juga agak kagum dengan golongan veteran yang masih lagi menunjukkan kebolehan dan ‘bunga’ yang tersembunyi, yang diimpi-impikan untuk ditiru dan dipelajari oleh kebanyakan peminat muzik tradisional KadazanDusun.
Namun demikian, kami cuma berjaya meraih saguhati yang berupa wang tunai dan medal. Namun demikian, Aki Sagat Team begitu berpuas hati dengan pertandingan kali ini dan belajar banyak daripada apa yang telah dilihat, apa yang telah didengar, dan apa yang telah diberitahu kepada kami.
Terima Kasih Kaamatan, Terima Kasih Kampung Tomui dan Terima Kasih Aramai Tii.. Jumpa Lagi Di Lain Hari…..

Aktiviti Aki Sagat Team Pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Papar

Pada 01 Mei 2009 yang lalu, Pesta Kaamatan Peringkat Negeri telah dilancarkan dengan Daerah Papar menjadi tuan rumah bagi penganjuran ini. Adalah menjadi kebanggaan dan satu penghormatan kepada penduduk di daerah ini yang mana sudah sekian lama Daerah Papar tidak diserikan dengan kehadiran para YAB, YB dan dif-dif kehormat yang sekian lama terperap di KK. Jadi apa salahnya turun Papar pigi tingu kami semua di sini kan…. Ngam-ngam ada Tamu lagi….
Jadi, saya berbesar hati ingin memfokuskan apa aktiviti Aki Sagat Team pada hari tersebut. Seminggu sebelumnya, kami telah diberitahu oleh Pengerusi JKKK Kampung bahawa Kampung Biau telah dijemput untuk menyertai satu pertandingan ‘magagung’ yang dianjurkan sempena pelancaran Pest Kaamatan ini. Dengan itu, Pengerusi JKKK Kampung dengan berbesar hati memberikan mandat tersebut kepada kami dan merekrut beberapa golongan muda yang sudi menyertai pertandingan ini.
Golongan yang dilatih ialah kanak-kanak dalam lingkungan 7 tahun sehingga 13 tahun. Pada mulanya latihan kami berjalan agak kurang lancar kerana membiasakan kanak-kanak dengan instrument tradisional adalah suatu cabaran yang agak berat lebih-lebih kepada pengurus pasukan belakang tabir, iaitu Encik David Embee Paulinus @ MB. Encik MB berusaha keras sehingga dengan tidak dijangka-jangka, meningkatkan potensi kanak-kanak tersebut menyaingi kebanyakan pemuda-pemudi dan belia di kampung ini.
Banyak orang kurang percaya dengan kemampuan kami untuk melatih kanak-kanak, namun kami memecahkan mitos tersebut dan cuba membuka satu harapan kepada golongan ibubapa bahawa anak-anak mereka sudah pandai bermain alatan muzik tradisional KadazanDusun yang mungkin golongan ibubapa itu sendiri tidak tahu bagaimana untuk memainkannya. Namun demikian, pengalaman lebih mengatasi daripada bakat semulajadi. Walaupun kanak-kanak tersebut berbakat, namun mereka kekurangan dari segi stamina dan daya ketahanan untuk bermain dalam tempoh yang lama dan panjang. Ini berbeza dengan golongan veteran yang telah berpengalaman di mana golongan ini penuh dengan stamina dan mampu bermain dalam tempoh yang lama. Situasi ini dapat dilihat dalam latihan awal kanak-kanak yang mana mereka mampu bermain dengan cekap namun menjadi lembap apabila masuk pada minit yang ketiga.
Pada hari pertandingan, terdapat 7 kampung yang bersaing untuk mendapat tempat terbaik atau sekurang-kurangnya saguhati. Kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Biau, Kampung Sabandil, Kampung Nagapas, Kampung Kogopon, Kampung Lakut, Kampung Timbagan dan Kampung Kopimpinan. Semua kampung tersebut memberikan yang terbaik dalam persembahan mereka dan akhirnya, kumpulan yang meraih tempat ialah Kampung Kopimpinan (Pertama), Kampung Kogopon (Kedua), dan Kampung Nagapas (Ketiga). Kampung yang lain termasuk kampung kami cuma meraih saguhati. Namun demikian, kami agak berpuas hati dengan persembahan kami dan berazam untuk mencuba lagi yang terbaik di pertandingan akan datang.

Monday, June 15, 2009

Kelahiran Aki Sagat Team Kampung Biau Papar

Kelahiran 'Aki Sagat Team' bermula pada 01 Mei 2009 bertempat di Dewan Masyarakat Papar. Pada ketika itu, nama yang digunakan cuma 'Sagat Team' sahaja. Namun begitu, penambahan perkataan 'Aki' bermaksud kumpulan ini telah dalam proses untuk mengukuhkan kedudukan dari segala aspek.
'Aki' dalam bahasa Kadazan bermaksud 'moyang' manakala Sagat merupakan nama seorang tokoh pemimpin di Kampung Biau Papar suatu masa dahulu. Nama ini diilhamkan oleh pengarah kumpulan ini, iaitu Encik David Embee Paulinus, merupakan seorang bekas guru yang telah barsara. Beliau kini aktif dalam mengkaji salasilah keturunan keluarga beliau dan juga aktif dalam menghidupkan semula 'nafas' instrumen tradisional yang sudah hampir dilupai oleh segenap lapisan masyarakat.
Encik David Embee Paulinus yang lebih mesra dipanggil 'cikgu' atau 'MB' merupakan keturunan keempat bagi Sagat. Beliau yang kini sudah mencecah umur 63 tahun merupakan antara penduduk Kampung Biau Papar yang begitu matang dalam salasilah kekeluargaan dan sejarah hidup seseorang yang telah meninggal dunia. Saya pernah berkesempatan bersama-sama beliau melawat kuburan di kampung yang mana, beliau dapat mengenali hampir semua yang telah dikuburkan dan sebab mengapa mereka meninggal dunia.
Moto yang di bawa oleh kumpulan ini ialah 'Serve and Lead the Community Throughout Young Generations' yang bermaksud, berkhidmat dan memimpin komuniti melalui generasi muda. Moto ini sendiri diilhamkan oleh Encik David Embee Paulinus yang mana beliau berpendapat generasi baru harus dipupuk untuk menghargai apa yang telah menjadi tradisi KadazanDusun sejak turun temurun. Beliau mendapati generasi pada masa kini amat kurang pengetahuan terhadap bangsa sendiri dan hanya mengetahuinya setelah mempelajari matapelajaran sejarah; itupun pengetahuan tersebut cuma 0.01% daripada kapasiti pengetahuan sebenar.
Oleh yang demikian, beliau memulakan langkah dengan bermula di rumah sendiri. Beliau mendidik anak-anak beliau dan cucu beliau untuk memahirkan diri dengan bahasa ibunda, seterusnya dengan peralatan tradisi suku kaum KadazanDusun. Pada mulanya, beliau agak gawat dari segi kewangan di mana harga untuk satu set lengkap bagi peralatan tradisi tersebut mencecah lebih seribu ringgit; jumlah yang agak tinggi memandangkan nilai peralatan tersebut agak tinggi juga. Namun, setelah berusaha, beliau akhirnya dapat memperolehi satu set lengkap yang dibeli di kalangan saudara mara beliau. Bertitik tolak daripada saat itu, alat tersebut telah menjadi nadi penggerak yang menyatukan 2 buah keluarga dengan lebih rapat lagi; iaitu keluarga daripada isteri pertama dan isteri kedua.
Bermula pada 25 Disember 2006, tarikh peralatan tersebut dibeli, ia tidak lekang dimainkan sepanjang hari setiap tahun sehingga kini. Sehingga tahun 2009, akhirnya keluarga ini berjaya menubuhkan perkumpulan yang digelar sebagai Aki Sagat Team yang dianggotai oleh generasi muda dan dipimpin juga oleh generasi muda dengan Encik David Embee Paulinus sebagai penasihat persatuan ini.
Kumpulan Aki Sagat yang baru ditubuhkan ini masih lagi kekurangan dana dan mengharapkan sumbangan ikhlas daripada individu atau perkumpulan. Sehingga kini jumlah pendapatan adalah berasal daripada hadiah wang tunai, saguhati dan sumbangan. Oleh yang demikian kumpulan ini mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin tampil memberi sumbangan demi kemajuan generasi baru kini. Wang sumbangan akan digunakan untuk pembelian set alat gong dan kulintangan yang baru, lawatan sambil belajar bagi peserta-peserta magagung dan sumazau ke tempat ilmiah, dan seumpamanya yang memberikan faedah kepada generasi muda di Kampung Biau Papar.